Kasut Kanak-Kanak Stride Rite

Seorang demi seorang kanak-kanak berusia lingkungan lima hingga sembilan tahun keluar dari tirai belakang pentas sebaik sahaja lagu rancak dimainkan oleh deejay.

Sambil meletakkan tangan di pinggul masing-masing, mereka mula menyusun langkah memperagakan pakaian baharu daripada tiga jenama pakaian kanak-kanak terkenal, Mothercare, Gingersnap dan Stride Rite.

Anak-anak cilik ini kemudian berdiri di atas bongkah masing-masing bagi memberikan pengamatan yang lebih kepada penonton dan rakan-rakan media yang hadir.

Ternyata selain tampil yakin dengan rekaan baharu yang lebih moden dan bergaya, kanak-kanak ini juga kelihatan sangat selesa dengan pakaian tersebut.

Pengurus Pemasaran Mothercare dan Gingersnaps, Haslinda Mohd. berkata, rekaan terbaharu pakaian kanak-kanak ini mengutamakan keselesaan pemakaian.

“Semua pakaian ini dibuat menggunakan fabrik 100 peratus kapas lembut bagi memberikan keselesaan kepada anak-anak yang memakainya.

“Antara rekaan baharu untuk kanak-kanak lelaki termasuklah Ivy Look dan Dapper Boy, manakala bagi anak perempuan kami menawarkan Elektrik Spring serta Sugar Glam,” katanya ketika membuat demonstrasi pakaian kanak-kanak di Restoran Chinoz, Suria KLCC, Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, turut menarik perhatian penonton dalam peragaan tersebut adalah koleksi rekaan dan warna menarik kasut-kasut daripada Stride Ride.

Antara corak yang paling menonjol ialah kuntuman bunga besar di sepatu gadis dan kasut kasual Bahama untuk kanak-kanak lelaki.

Beberapa kasut turut direka dengan mengangkat tema filem adiwira terkenal seperti Batman, Spiderman, Captain America, Star Wars dan watak permaisuri daripada kisah dongeng, Cinderella.

Teruja

Kanak-kanak yang memakai kasut-kasut berkenaan pasti akan berasa teruja kerana ia turut dilengkapi dengan kerlipan lampu untuk setiap langkah dengan gaya lebih moden.

Selain memastikan kasut-kasut itu mempunyai ‘wajah’ yang menyeronokkan, ia turut diperkemaskan dengan rekaan permukaan tapak lebih mencengkam dan stabil bagi tujuan keselamatan kanak-kanak. Idea rekaan tapak tersebut diilhamkan daripada kasut getah Havianas yang popular di Brazil.

Di samping itu, Haslinda turut berkongsi beberapa tip penjagaan pakaian kanak-kanak, termasuklah cara membasuhnya.

“Baju kanak-kanak tidak seharusnya dibasuh menggunakan peluntur kerana ia akan merosakkan bentuk asal pakaian berkenaan.

“Pakaian si kecil seelok-eloknya dibasuh menggunakan pencuci pakaian biasa atau pelembap pakaian. Baju-baju ini juga tidak seharusnya dimasukkan ke dalam mesin basuh dan perlu dicuci dengan tangan,” katanya.

Tambahnya lagi, seeloknya pakaian kanak-kanak tidak dijemur di bawah cuaca yang terik kerana ia akan memudarkan warna baju tersebut.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan dan Komunikasi Suria KLCC, Fartini Zaharuddin berkata, pihaknya berharap pelancaran pakaian baharu kanak-kanak itu dapat menyediakan pilihan lebih baik kepada ibu bapa yang datang mengunjungi pusat beli-belah berkenaan.

Dengan menyokong acara pelancaran pada hari ini, kami berharap rekaan pakaian terbaharu daripada tiga jenama gergasi ini mampu memberikan kepuasan kepada ibu bapa dalam menyediakan yang terbaik bagi anak-anak mereka.

“Memilih pakaian kanak-kanak juga boleh menjadi satu aktiviti hujung minggu yang mengujakan dengan pelbagai rekaan dan warna menarik,” jelasnya.

Terdahulu, selain mengadakan peragaan baju kanak-kanak, acara yang berlangsung kira-kira dua jam itu turut dimeriahkan lagi dengan acara suai padan baju kanak-kanak oleh rakan-rakan media yang hadir.

Sumber: Kosmo! Online

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::