Jom Lompat di Jump Street

Lompat, lompat dan terus melompat. Tanpa sedar, baru 15 minit masa berlalu, namun tubuh berpeluh seakan usai berlari lebih 10 kilometer!

"Kami sekeluarga dapat beriadah tanpa perlu ke gimnasium dan aktiviti ini sudah cukup untuk dilakukan antara tempoh satu jam mengikut kemampuan diri.

"Melompat di atas trampolin ini tentu saja menyeronokkan berbanding melakukan aktiviti fizikal lain. Hanya sarungkan pakaian selesa dan stokin khas, kita boleh melompat mengikut gerak tubuh jurulatih dan merasai pengalaman riang seperti kanak-kanak," katanya.

Itulah reaksi guru dari Shah Alam, Selangor, Azleen Khamis, 35, ketika mengulas mengenai Jump Street di Seksyen 13, Petaling Jaya, yang baru dibuka sejak Mei tahun lalu.

Beliau berkata, ini adalah kunjungan kali pertama selepas dicadangkan rakannya untuk mengisi aktiviti cuti sekolah bersama tiga anaknya.

"Saya sendiri melakukan aerobik dan merasai kelainan yang ada kerana lompatan dilakukan di atas trampolin ternyata tidak memenatkan.

"Walaupun baru saja belajar melompat, saya berpendapat aktiviti ini sangat menyihatkan kerana peluh mengalir membasahi tubuh hanya selepas sekitar 10 minit," katanya.

Tambah beliau, ikatan kekeluargaan menjadi semakin erat kerana mereka melakukan aktiviti bersama tanpa mengira batasan umur.

Aktiviti keluarga

Bagi pengunjung dari Kelantan, Nik Nor Shafiga Hussin, 43, yang bertugas sebagai eksekutif berkata, saban tahun keluarganya termasuk ibu bapa akan menyertai perhimpunan keluarga.

"Kami memilih sesuatu lokasi untuk mengadakan hari keluarga dan kebetulan abang saya yang tinggal di Kuala Lumpur mencadangkan kami ke sini kerana ada aktiviti boleh dilakukan semua peringkat umur.

"Saya sendiri memiliki tiga cahaya mata dan tentunya program keluarga kami bertambah meriah kerana masing-masing saling mengambil bahagian," katanya.

Beliau berkata, hasil pencarian di laman Facebook menyimpulkan aktiviti di taman trampolin sesuatu yang menarik, menggembirakan dan selamat.

Latih hingga mahir

Bagi Jump Referee, Faez Nick, 21, pengalaman sebagai atlet gimnastik negara sebelum ini membantunya mengembangkan kemahiran sukan kepada pengunjung Jump Street.

"Saya bukan hanya bekerja di sini, tetapi menurunkan kemahiran melatih ahli gimnastik muda melakukan rutin kecergasan mereka termasuk menggalakkan mereka berjinak dalam aktiviti bina badan.

"Kami akan mengajar peserta bermula daripada peringkat asas dan akan diteruskan ke tahap lebih tinggi. Dari situ, peserta akan melanjutkan kelas pembelajaran untuk lebih mahir," katanya.

Beliau yang berkelulusan Diploma Pengurusan Perniagaan berkata, trampolin memberi pengaruh kepada kesihatan menyeluruh yang bermanfaat kepada fizikal dan mental kanak-kanak serta golongan dewasa.

"Berbanding aktiviti fizikal lain contohnya joging, trampolin menghasilkan kesan lebih pantas dan efektif termasuk membakar 1,000 kalori jika satu jam melakukan lompatan aerobik.

"Paling penting, trampolin mampu mencetuskan suasana gembira dan menyeronokkan terutama apabila dilakukan bersama keluarga mahupun teman," katanya.

40,000 pengunjung sebulan

Pengalaman menyeronokkan di taman trampolin terbesar di Asia yang dibuat dalam bangunan dan popular di kebanyakan negara Barat, mungkin hanya membuatkan ramai yang memikirkan aktiviti lompatan di sebalik nama tempat rekreasi ini.

Ketua Pemasaran Jump Street, Zehan Hakimi, berkata taman trampolin yang dibuka sejak Mei lalu sudah menerima 280,000 pengunjung dengan anggaran 40,000 orang sebulan.

"Kita mempunyai lapan gelanggang yang diselia jump referee berpengalaman dan kadar bayaran dikira mengikut jam yang boleh disertai semua peringkat usia.

"Meskipun masih baru dibuka, tempat ini menarik perhatian ramai pengunjung luar kerana aktivitinya sesuai dilakukan mereka yang baru berjinak-jinak, atlet atau ahli gimnastik," katanya.

Banyak kemudahan

Dengan keluasan 11,278 meter persegi, Jump Street ini boleh memuatkan kira-kira 150 pengunjung dalam satu masa dan banyak kemudahan lain seperti surau, tandas dan kafe makanan disediakan.

Zehan berkata, pelbagai aktiviti sekeluarga boleh dilakukan termasuk menyertai lompatan aerobik, bermain sukan dodgeball yang masih baharu dengan suasana Malaysia.

"Dodgeball adalah sukan menyeronokkan yang memerlukan kelincahan dan strategi, manakala trampolin pula alat rekreasi yang membolehkan meloncat ke udara.

Pentingkan keselamatan

"Apabila digabungkan ia menjadi satu sukan moden yang mendapat sambutan dalam kalangan belia di seluruh dunia dan bulan lalu satu perlawanan Dodgeball Trampolin pertama negara diadakan," katanya.

Beliau berkata, pengunjung hanya perlu hadir berpakaian sukan serta memakai stokin khas dan boleh saja memakai pakaian kasual lain yang bersesuaian dengan aktiviti.

"Kami di sini sangat mementingkan keselamatan dan setiap aktiviti dipantau jurulatih berpengalaman, mahir dengan rawatan kecemasan,'"' katanya yang memaklumkan taman trampolin kedua akan dibuka di Bayan Lepas dalam tahun ini.

INFO: Jump Street

- Selain di Seksyen 13, Petaling Jaya, Jump Street juga dibuka di Pulau Pinang pada Januari lalu.

- Dibuka jam 10 pagi hingga 9 malam, Isnin hingga Rabu dan lebih lama pada hari puncak (Khamis, Jumaat, Sabtu, Ahad) dari jam 9 pagi hingga 12 tengah malam.

- Harga yang dikenakan ialah RM20 (bagi jam pertama) dan RM17 (bagi jam kedua) hari biasa serta RM25 (jam pertama) dan RM22 (jam kedua) pada hari puncak.

Senaman trampoline membantu;
- Merangsang metabolisme.
- Meningkatkan kapasiti oksigen.
- Meningkatkan keseimbangan deria.
- Meningkatkan peredaran oksigen ke tisu.
- Meningkatkan peredaran limfa menerusi kelenjar limfa.
- Menguatkan jantung (kesihatan kardiovaskular).
- Meningkatkan tenaga dan keseimbangan daya hidup.
- Memantapkan otot.
- Membuatkan minda lebih positif dan gembira.
- Meningkat skil motor dan koordinasi tubuh.

Sumber: Berita Harian Online

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::