D’Agri Expo 2014

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan sebanyak RM100 juta menerusi potensi jualan pemadanan perniagaan dan jualan tunai sempena D’Agri Expo 2014 yang julung kali diadakan bulan depan.

Ketua Pengarahnya Datuk Ahmad Ishak berkata, penganjuran utama D’Agri Expo 2014 adalah untuk melahirkan lebih ramai usahawan tani yang berjaya dan ia juga sebagai kesinambungan daripada Pameran Pertanian, Hortikultur dan AgroPelancongan Malaysia (MAHA).

Beliau berkata, ekspo itu juga bakal menghimpunkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sektor agro makanan pembuatan dan perkhidmatan serta syarikat swasta domestik dan antarabangsa sepanjang rantaian bekalan pertanian.

“Kami sasarkan untuk jualan tunai saja sebanyak RM10 juta akan dicapai manakala potensi jualan pemadanan perniagaan dianggarkan sebanyak RM90 juta dengan pelawat perdagangan dari Singapura, Indonesia, Thailand dan pelbagai negara seluruh dunia.

“Fokus utama D’Agri Expo 2014 ini adalah untuk:

  • menawarkan peluang perniagaan dan keusahawanan dalam bidang pertanian,
  • mewujudkan pusat sehenti bagi memudahkan urusan pemadanan perniagaan,
  • menonjolkan sektor agro pelancongan,
  • dan mewujudkan platform bagi semua peserta,”
Menurutnya, ekspo itu akan menjadi acara tahunan FAMA dan bakal menjadi gerbang pada masa depan untuk meningkatkan sektor pertanian.

Ahmad berkata, D’Agri Expo 2014 juga menyaksikan pelbagai produk hasil tani yang terbaru dan aktiviti utama seperti jualan, promosi produk, pameran agensi kerajaan dan penerangan mengenai paten, ICT, francais dan pembiayaan.

Beliau berkata, FAMA menyasarkan bilangan peserta yang akan menyertai ekspo itu seramai 250 peserta termasuk dari Jepun, Singapura, Sri Lanka, manakala jumlah pelawat perdagangan dianggarkan seramai 40,000 orang dan pelawat am pula dijangka 350,000 orang.

D’Agri Expo 2014:
  • akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)
  • pada 13 hingga 16 Februari 2014
  • akan dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Sumber: myMetro
Foto: D'Agri Expo

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::